Monday, August 30, 2010

Jenis-jenis Pentaksiran Dalam Pendidikan Khas

JENIS-JENIS PENTAKSIRAN


Terdapat pelbagai pentaksiran, antaranya adalah seperti pentaksiran kemahiran pembelajaran asas,pentaksiran kemahiran sosial dan tingkah laku, pentaksiran kemahiran bahasa yang terdiri daripada membaca, menulis dan lisan serta pentaksiran kemahiran matematik.


PENTAKSIRAN KEMAHIRAN PEMBELAJARAN ASAS


Pentaksiran kemahiran pembelajaran asas melibatkan pengamatan yang mana meliputi aspek penglihatan, pendengaran ,kinestatik dan taktil. Selain itu kemahiran pembelajaran asas juga meliputi konsepsualisasi dan organisasi yang mana adalah merupakan kebolehan untuk memahami konsep dan mengikut organisasi dengan betul. Selain itu dalam kemahiran pembelajaran asas juga, aspek utama yang terlibat ialah kepantasan pemprosesan maklumat. Dalam pemprosesan maklumat ini, melibatkan kebolehan individu memproses input ke dalam otak dan menterjemah dengan perlakuan dan juga tindakan yang bersesuaian dengan pantas.



Aspek yang paling banyak diperbincangkan dalam kemahiran pembelajaran asas ini ialah merupakan aspek pengamatan. Pengamatan adalah merupakan sejenis kefahaman terhadap sesuatu perkara atau situasi melalui pancaindera setelah berlakunya proses dalam mental.

Dalam erti kata lain pengamatan ini berkait rapat dengan pemikiran manusia dan merupakan satu kemahiran yang boleh dipelajari. Janet W. Learner (1971) dalam bukunya “Children With Learning Disabilities” telah mentaksirkan pengamatan sebagai proses untuk mengenal maklumat daripada tindak balas panca indera atau mekanisme yang mentafsirkan sesuatu pergerakan panca indera dengan kuasa intelek


Antara komponen utama dalam pengamatan adalah terdiri daripada penglihatan, pendengaran dan juga sensori motor. Bagi kemahiran pengamatan, antara aspek yang diuji ialah diskriminasi yang sama, diskriminasi yang ganjil, diskriminasi saiz, mengingat kembali, orientasi kedudukan, mengikut turutan, menyudah dan melengkapkan, menyalin, rajah latar belakang atau bertindih, koordinasi motor mata tangan, pertalian jarak atau ruang, gambar bersiri, kekalan atau keabadian bentuk , mencari jalan keluar dan mencari benda tersembunyi.


PENTAKSIRAN KEMAHIRAN SOSIAL DAN TINGKAH LAKU.


Dalam pentaksiran ini, aspek utama yang terlibat ialah kemahiran social dan tingkah laku individu di dalam bilik darjah. Pentaksiran ini juga secara amnya melibatkan pengubahsuaian tingkah laku yang mana merupakan aspek yang penting untuk membuat penilaian secara menyeluruh. Pengubahsuain tingkah laku ini merujuk kepada keberkesanan dengan pertemuan individu dan tanggungjawab social berkaitan dengan umur dan kumpulan kebudayaan.


Secara umumnya, hasil kajian saintifik mencadangkan bahawa kebanyakan tingkah laku adalah dipelajari. Ini bermakna tingkah laku baru atau alternatif boleh dipelajari pada bila-bila masa. Terdapat pelbagai tingkah laku iaitu tingkah laku negatif dan juga tingkah laku negatif. Tingkah laku positif dan negatif ini selalunya dapat dilihat dan diperhatikan dalam bilik darjah. Antara tingkah laku positif ialah seperti menghormati arahan dan akur dengan perintah guru. Manakala bagi tingkah laku negatif pula adalah seperti membuat bising dan mengganggu rakan sekelas.


Bagi mencapai tahap tingkah laku yang diingini iaitu tingkah laku sasaran modifikasi tingkah laku perlu dilakukan. Untuk menjalankan modifikasi tingkah laku yang diingini ini terdapat beberapa langkah yang perlu diambil terlebih dahulu, antaranya termasuklah membuat pemilihan terhadap tingkah laku yang diberi keutamaan, pemerhatian dan perekodan ke atas tingkah laku tersebut, menentukan tingkah laku sasaran, mengenal pasti masa pelaksanaan, memilih strategi dan kaedah yang bersesuaian, penentuan ganjaran, menjalankan program , membuat penilaian, tindakan susulan dan memastikan bahawa tingkah laku negatif tidak akan berulang dan tingkah laku yang positif dapat dikekalkan.

Terdapat pelbagai cara untuk meningkatkan tingkah laku yang diingini antaranya adalah dengan pemberian ganjaran yang terdiri daripada primer , sekunder dan sosial. Ganjaran primer ini terdiri daripada makanan dan minuman, manakala ganjaran sekunder pula terdiri daripada token, kupon dan lain-lain. Ganjaran sosial pula adalah seperti senyuman ,belaian dan penghargaan emosi kepada individu. Terdapat beberapa strategi peningkatan yang lain iaitu seperti penggunaan kontrak dan sebagainya. Bagi teknik pelupusan pula terdapat pelbagai teknik antaranya adalah seperti teknik pelupusan, dendaan, kejelakan, timed out ,pembetulan semula dan yang lain lagi. Segala strategi peningkatan dan pelupusan ini sememangnya dapat membantu untuk mengubah tingkah laku kepada tingkah laku yang diingini. Segala hasil oleh strategi ini akan direkodkan dalam pelbagai jenis rekod seperti rekod anekdot, persampelan masa dan sebagainya. Daripada data yang diperolehi maka satu baseline dapat dilihat dan disini jugalah guru dapat mentaksir dan merancang aktiviti yang bersesuaian bagi meningkatkan tingkah laku sasaran di masa hadapan.

Selain itu juga, dalam proses pentaksiran kemahiran social dan tingkah laku juga, penglibatan ibu sangatlah penting. Ini kerana ibu bapa adalah merupakan orang yang paling rapat dengan mereka. Hasil temul bual dan perbincangan daripada ibu bapa sememangnya sangat membantu guru dalam membuat pentaksiran dengan betul dan lebih jitu.


PENTAKSIRAN KEMAHIRAN BAHASA LISAN


Terdapat lima komponen utama yang terlibat dalam pentaksiran kemahiran lisan. Lima komponen utama itu ialah fonologi, semantik, sintaksis , morfologi dan juga pragmatik. Melalui lima pentaksiran aspek ini, masalah dan daerah kelemahan murid-murid dapat dikenal pasti dan seterusnya dapat membantu guru melakukan strategi dan intervensi yang bersesuaian bagi individu berikut.


Bidang fonologi adalah merujuk kepada bunyi-bunyi bahasa yang diucapkan dan peraturan-peraturan bagi menentukan bagaimana bunyi-bunyi itu digunakan. Sebutan dan bunyi yang berlainan akan memberikan makna yang lain. Sebagai contoh, perkataan ”pin” dan ”tin”, perbezaan bunyi utama adalah pada awal perkataan-perkataan tersebut. Kebiasaannya individu yang mengalami masalah pembelajaran ini sukar untuk membunyikan bunyi fonetik dengan betul. Kadangkala mereka seringkali melakukan penggantian, penambahan, pengguguran dan sebagainya. Contohnya perkataan ”bahu” menjadi ”bau” . Hal ini telah pun berlaku pengguguran dan perkara ini seringkali terjadi kepada individu yang menghadapi down sindrom. Walaupun perkataan-perkaaan ini berbeza hanya pada satu bunyi sahaja tetapi perbezaan bunyi ini menghasilkan dua perkataan dan masing-masing mempunyai makna yang berbeza


Morfologi adalah bidang yang mengkaji struktur kata atau bidang yang mengkaji proses pembentukan perkataan daripada unsur makna yang paling asas (morfem). Morfem adalah adalah kesatuan (unit) tatabahasa yang terkecil yang mempunyai erti dalam struktur sesuatu bahasa. Morfem terdiri darpada morfem bebas dan morfem terikat. Morfem terikat adalah merupakan morfem yang tidak berdiri dengan sendiri, contohnya perkataan ”basement”. Kehilangan perkataan pada suku kata terakhir boleh memberi makna yang lain. Morfem tidak terikat pula morfem yang dapat berdiri dengan sendirinya. Sebagai contoh ”base”.

Sintaksis pula merupakan unsur terbesar dalam tatatingkat tatabahasa. Sintaksis boleh terbina daripada unit-unit tatabahasa yang lebih kecil seperti frasa, perkataan, dan morfem. Sebagai contoh ”Ibu pergi ke kedai”. Namun bagi individu yang mengalami masalah dalam penggunaan sintaksis, individu itu hanya mampu menyebut ”ibu kedai”. Hal ini sememangnya telah pun memberi maksud dan makna yang lain.

Bidang semantik pula bidang yang berkaitan dengan makna. Komponen kandungan terdiri daripada semantik (makna) yang merujuk kepada cara perkataan-perkataan digunakan secara bermakna dalam komunikasi. Pada asasnya semantik melibatkan perbendaharaan kata sesuatu bahasa atau leksikon. Fonem-fonem yang bergabung akan membentuk perkataan, dan perkataan digunakan untuk mewakili benda, konsep, pengalaman dan sebagainya. Kanak-kanak yang mengalami masalah pembelajaran ini sangat lemah dalam bidang semantik terutama dalam membezakan perkataan yang mempunyai ejaan yang sama tetapi berlainan bunyi. Contohnya perkataan perang (e pepet) dan jupa perang (e taling) . Perang di sini bermaksud berlawan dan menentang musuh manakala perang yang satu lagi adalah sifat warna. Selain itu mereka juga mengalami masalah dalam memahami peribahasa seperti simpulan bahasa dan sebagainya.

Bidang pragmatik pula ialah merupakan bidang yang berkaitan dengan penggunaan bahasa yang betul dalam kehidupan seharian kita. Kanak-kanak autisme misalnya mengalami kesukaran dalam menggunakan kata ganti diri. Hal ini kerana kata ganti diri pertama seperti ”I” seringkali ditukarkan dengan perkataan ”you”. Penggunaan bahasa yang salah akan memberi maksud yang berlainan. Disebabkan itulah unsur pragmatik juga memainkan peranan penting dalam aspek komponen bahasa.

Dalam pentaksiran lisan, ujian diagnostik dijalankan untuk menyediakan maklumat yang boleh dipercayai dan mempunyai kesahan yang tinggi kepada guru. Selain itu juga, maklumat yang diberikan perlulah sejajar dengan teori perkembangan kognitif. Tujuan pentaksiran lisan juga adalah untuk menyediakan maklumat khusus berkenaan dengan masalah sebenar yang dihadapi oleh pelajar. Melalui pentaksiran lisan jugalah guru akan dapat merancang dan memulakan pengajaran secara lebih efektif berdasarkan data yang diperolehi.

Dalam pentaksiran lisan terdapat dua jenis bahasa yang menjadi aspek utama untuk dinilai dan ditafsirkan. Masalah bahasa yang terdapat dalam kalangan kanak-kanak keperluan khas ini ialah masalah bahasa ekspresif dan juga masalah reseptif.

Bahasa ekspresif merujuk kepada keupayaan pelajar untuk berkomunikasi dan meluahkan idea, perasaan, pemikiran atau pendapat kepada orang lain. Pentaksiran terhadap bahasa pentaksiran ini biasanya melibatkan aspek pengeluaran bunyi yang betul, ucapan , dan bahasa. Perucapan atau pertuturan adalah merupakan pengeluaran untuk menghasilkan bahasa ekpresif.

Bahasa reseptif pula merujuk kepada keupayaan individu untuk menerima dan memahami input bahasa yang diterima daripada persekitaran. Pentaksiran terhadap bahasa reseptif ini misalnya akan melibatkan keupayaan pelajar untuk mendengar perkataan atau frasa dan dapat mempamerkan kefahaman mereka terhadapa isu yang diperkatakan tadi. Sebagai contoh, selepas memperdengarkan beberapa perkataan, murid tersebut akan disoal semula mengenai kefahaman beliau terhadap apa yang dibacakan tadi.

Antara ciri-ciri yang mengalami masalah ekspresif dan reseptif ini ialah, kebiasaannya individu yang mengalami masalah lebih suka untuk berdiam diri daripada sebarang perbincangan dan perbualan. Selain itu, mereka juga seringkali memberi respons yang salah dengan arahan yang diberikan. Murid-murid yang mengalami masalah ini juga akan mengalami kesukaran untuk bertukar giliran berkomunikasi dan bercakap apabila mereka diminta untuk melakukan perbincangan. Kesemua masalah ini dapat dirawat jika diberi rawatan dan intervensi dengan segera. Psikoterapi dapat dijalankan untuk merawat masalah ini terutamanya bagi mereka yang menghidapi masalah dalam emosi dan juga tingkah laku,


Bagi melakukan pentaksiran terhadap individu yang mengalami masalah lisan ini, terdapat beberapa cara dan kaedah. Antaranya guru boleh menyediakan beberapa set soalan dalam memahami perkembangan bahasa mereka. Selain itu guru juga boleh melakukan deskripsi lisan, temuduga, perbincangan, penggunaan videotape dan mengadakan ujian yang standard kepada mereka.


Contoh ujian yang sesuai dijalankan adalah seperti ujian kriteria. Aspek yang dinilai adalah ucapan dan juga bahasa. Komponen yang dinilai adalah seperti bahasa ekspresif dan reseptif, mimik muka atau gesture, pemvokalan yang betul, kepanjangan ayat dan juga ingatan audiotari. Ujian seperti ini biasanya dilakukan pada usia selepas lahir hingga berumur 7 tahun.

Selain daripada ujian juga, guru boleh mengambil kira persekitaran sosial kanak-kanak tersebut. Hal ini dapat membantu guru membuat perkaitan dengan masalah yang dihadapi oleh murid dan seterusnya merancang strategi bagi mengatasi masalah yang dihadapi.


PENTAKSIRAN BACAAN

Kebanyakan guru menggunakan pelbagai pendekatan yang berbeza dalam proses pembelajaran dan pengajaran untuk kemahiran membaca. Kebanyakannya adalah bergantung dengan latar belakang dan orientasi murid terbabit. Berdasarkan faktor itu, guru akan dapat menggunakan satu atau lebih pendekatan. Antara pendekatan yang digunakan adalah seperti orientasi dalam bacaan, berpandukan arahan dan menggunakan maklumat

Bagi kemahiran bacaan, untuk melakukan pentaksiran ujian diagnostik perlulah dilakukan. Ujian diagnostik bacaan digunakan oleh guru untuk mendapatkan maklumat dan membantu guru mengenalpasti daerah kelemahan pelajar berkenaan. Ujian ini mengandungi beberapa komponen mana perlu mahir dikuasai oleh murid-murid iaitu fonologi, morfolgi, sintaksis dan semantik. Kemahiran dalam pembacaan ini juga merangkumi pengecaman huruf dan perkataan penyebutan serta pemahaman terhadapa apa yang dibaca. Ujian ini akan dilaksanakan secara individu dan dilakukan di tempat kebiasaan murid.

Terdapat beberapa masalah yang dihadapi oleh murid-murid dalam bacaan. Antaranya adalah seperti masalah disleksia. Misalnya murid itu akan mengalami masalah apabila dua perkataan yang berbeza bunyi dilambangkan oleh huruf yang sama iaitu semak ( belukar) dan semak (lihat semula). Selain itu, murid ini juga akan membaca secara terbalik. Mereka juga tidak dapat membuat hubung kait antara bunyi perkataan dengan huruf yang menyebabkan mereka terpaksa membunyikan setiap perkataan yang dibaca.
Dalam melaksanakan pentaksiran bacaan, terdapat beberapa aspek yang perlu dilihat terlebih dahulu. Antaranya ialah, pentaksiran tersebut perlulah dilakukan secara variasi dan mengambilkira tentang kebolehan untuk kebolehan memproses bacaan yang kompleks. Selain itu, ujian yang diberikan hendaklah berdasarkan umur murid. Pentaksiran yang dilakukan ini mestilah tidak berat sebelah dan perlu mengambil kira jenis ujian yang dijalankan. Pendekatan yang berbeza harus dilakukan semasa membuat pentaksiran yang melibatkan aspek bacaan, menulis dan bahasa.

Penilaian yang dilakukan semasa melakukan pentaksiran adalah berdasarkan prob, analisis kesalahan, ”think aloud”, retelling, deskripsi lisan, hasil tulisan selepas bacaan, senarai semak dan soalan, temubual, perbualan, jurnal murid, persembahan oleh murid, dan juga penilaian kendiri.


Dalam melakukan ujian diagnostik, aktiviti yang boleh dilakukan adalah dengan melakukan bacaan mekanis. Bacaan mekanis ini diuji melalui ketepatan sebutan dan kelancaran membaca. Pelajar boleh diuji membaca huruf , suku kata , perkataaan, ayat dan teks.

Antara kesilapan yang seringkali dilakukan adalah menyebut huruf kecil yang hampir sama bunyi seperti b-d iaitu buku-duku. Selain itu terdapat juga kesilapan dalam menyebut huruf yang hampir sama bentuk seperti m-n iaitu mama dan mana. terdapat juga kesilapan dalam meyebut bunyi konsonan bergabung iaitu kh, ng, ny, sy. Contoh perkataan khamis akan disebut sebagi kamis. Kesilapan yang dapat dinilai dalam bacaan mekanis juga dapat dilihat ketika menyebut perkataan yang mana kakak disebut katak dan sesetengah juga menterbalikkan perkataan seperti bala menja laba. Murid yang mengalami masalah bacaan juga akan mengalami kekeliruan dengan orientasi huruf iaitu u dengan n dan keliru huruf besar dan huruf kecil yang berbeza bentuk seperti A-a.

Aktiviti bacaan mekanis akan diuji melalui ketepatan sebutan dan kelancaran membaca. Beberapa perenggan dan teks akan disusun daripada sangat mudah kepada semakin susah. Sementara itu guru akan menyemak teks untuk mengenal pasti jenis kesilapan yang dilakukan. Antara kesilapan yang seringkali dilakukan oleh murid semasa melakukan proses bacaan adalah seperti ”insertion”, ”substitution” , ”inversion” , ”omission” dan banyak lagi.




Selain itu, murid juga akan diuji mengenai kefahaman mereka terhadap bacaan yang dibaca. Terdapat 3 jenis kefahaman yang dinilai ialah kefahaman literal, kefahaman inferens dan kemahiran mendengar. Kefahaman literal adalah merupakan kefahaman yang diuji selepas murid membaca teks. Murid akan disoal berdasarkan maklumat yang terdapat dalam teks. Kefahaman inferens pula memerlukan belajar untuk berfikir secara analitikal dan mampu memberikan huraian, pandangan atau penjelasan dan mampu mempamerkan kefahaman terhadap teks yang dibaca. Murid juga mampu membuat andaian atau ramalan. Bagi kemahiran mendengar pula, murid akan diperdengarkan teks terlebih dahulu, kemudian akan diuji dengan soalan sama ada berbentuk literal atau inferens.



PENTAKSIRAN KEMAHIRAN MENULIS
Seperti yang sedia maklum, kemahiran menulis adalah berkait rapat dengan kemahiran membaca. Kebiasaannya kemahiran menulis ini dikaitkan dengan kebolehan untuk menterjemahkan lambang-lambang bunyi bahasa kepada penulisan. Definisi bagi menulis adalah, kemahiran dan juga sebagai saluran untuk seseorang melahirkan perasaan dan idea. Kemahiran menulis menggabungkan aspek-aspek visual, motor, dan keupayaan membentuk konsep-konsep. Menurut Hughes, Mercer, Lenz, dan Hoffman, (1991). tulisan juga adalah saluran utama bagi murid-murid untuk menunjukkan pengetahuan dan mereka dalam mata pelajaran akademik yang lebih tinggi


Dalam mentaksir kemahiran guru boleh membuat rujukan berdasarkan senarai semak, temubual, temuduga, perbincangan bersama dan persembahan kendiri oleh murid tersebut. Ujian diagnostik penulisan akan dilakukan setelah guru membuat pemerhatian dan penilaian terhadap beberapa aspek seperti melihat hasil kerja murid. Melalui ujian diagnostik guru akan dapat melihat masalah murid yang terdapat dalam penulisan.

Antara masalah yang sering dihadapi oleh murid oleh ialah bentuk huruf yang tidak konsisten.( maKan). Selain itu murid juga tidak dapat menjarakkan huruf dan perkataan dengan baik. (lam pu). Murid yang mengalami masalah penulisan juga tidak mampu untuk mengeja dengan baik misalnya makan menjadi (makang). Tulisan murid ini juga kotor kerana kerap memadam dengan getah pemadam.


Pelaksanaan ujian diagnostik menulis melibatkan beberapa kemahiran yang perlu diuji. Antara kemahiran yang diuji adalah seperti nama huruf kecil, nama huruf besar, suku kata v, suku kata kv, perkataan kv +kv dan banyak lagi. Kesemua kemahiran ini akan dinilai untuk mencari daerah kelemahan murid dalam penulisan. Apa yang penting disini, semasa melakukan pentaksiran terhadap murid-muird, ujian yang diberikan mestilah normal dan biasa dengan murid. Selain itu ujian yang diberikan perlulah bermakna dan bersifat pelbagai dimensi.



PENTAKSIRAN KEMAHIRAN MATEMATIK

Matematik ialah merupakan satu bidang yang melatih minda supaya dapat berfikir secara mantik dan sistem dalam menyelesaikan masalah dan membuat keputusan. Sifat matematik tabiinya menggalakkan pembelajaran yang bermakna dan mencabar pemikiran.

Antara prinsip asas dalam kemahiran matematik adalah berkaitan dengan hukum dan tatacara dalam matematik. Antara prinsip dalam pentaksiran matematik ini ialah, pentaksiran ini berlaku dalam kehidupan normal murid. Guru perlulah melakukan pentaksiran berdasarkan pengajaran beliau. Bentuk pentaksiran yang dilakukan mestilah bermakna dan memberi erti kepada murid dan maklum balas murid perlulah spesifikasi , tepat dan dapat memberi maklumat tentang pengetahuan dan pemikiran yang dilakukan oleh murid. Murid mestilah melibatkan diri dalam proses pentaksiran dan penilaian yang dilakukan. Melalui proses ini, murid dapat meningkatkan dan mengaplikasi kemahiran yang standard dan rubrik yang ada. Pentaksiran kendiri menjadi perkara penting dalam proses pentaksiran ini.

Antara cara untuk guru mendapatkan maklumat mengetahui pengetahuan kemahiran matematik yang ada, guru boleh mendapatkan maklumat berdasarkan ujian kriteria, prob, analisis kesalahan, deskripsi lisan, deskripsi penulisan, senarai semak dan soalan, temuduga, perbualan , jurnal murid, persembahan murid di dalam kelas dan portfolio murid.


Kebiasaannya, kemahiran matematik yang diuji ialah nombor, pecahan, perpuluhan, penolakan, darab, duit dan lain –lain lagi. Pentaksiran mestilah dilakukan dalam keadaan persekitaran murid. Antara aspek persekitaran yang terlibat ialah keadaan fizikal persekitaran, persekitaran pembelajaran dan juga persekitaran sosial murid.

8 ulasan:

BLADE EDGE said...

salam...

blogger baru ke? good job..welcome 2 da club..

drp content, nampak bagus..ok la gitu, teruskanlah menulis. byk yg boleh ditulis di blog once awak dah berada lama dlm bidang yg awak ceburi tu..

teruskan menulis, jgn berenti sekerat jalan..

jgn lupa, promote la blog awak pada blogger2 lain. ajak blogger2 lain utk jd follower blog awak.

KLIK SINI UNTUK KE BLOG SAYA

Cik Jannah said...

mtk izin amek note ye..sgt membantu..TQ!

hannajLurun said...

tq 4 ur note...sgt dihargai..minta amek note ye...TQ!1

wanie azmie said...

ur welcome =))

Princessofthesun said...

nak note ni..sgt membantu..thanx..:)

Qaseh Lina said...

share note..

Rahsia Hati said...

minta copy ye..thanx alot ;):)

haidie said...

salam..mohon share ye untuk assignment..thanx so much...

Post a Comment