Sunday, November 20, 2011

Adakah Anak Anda Mengalami Masalah Kurang Upaya Tumpuan @ ADHD??

Ibu bapa seringkali merasakan tertekan sekiranya menerima surat atau pun nota dari pihak sekolah yang menyatakan anak-anak mereka seringkali menimbulkan masalah di dalam kelas. Antara salah satu sebab mengapa anak-anak mereka mengalami masalah tingkah laku tersebut adalah kerana anak mereka mengalami  Masalah Ketidakupayaan Memberi Tumpuan ataupun masalah hiperaktiviti. (Attention Deficit / Hiperactivity Disorder)

Walaupun kanak-kanak ini sebenarnya ingin sekali menjadi seorang pelajar yang cemerlang di sekolahnya, namun disebabkan masalah tingkah laku impulsif dan kesukaran memberi tumpuan dengan kerap ini telah pun menyebabkan gangguan dan masalah kepada diri kanak-kanak berkenaan.  Namun begitu, ibu bapa, guru dan rakan-rakan yang melihat masalah tingkah laku impulsif ini , seringkali salah faham terhadap sikap kanak-kanak ini kerana tidak memahami mengapa kanak-kanak ini mempunyai tingkah laku sedemikian rupa

Memang tidak dinafikan sekali sekala terdapat juga sesetengah murid normal mungkin akan menunjukkan ketidaktumpuan, mengamuk di dalam kelas ataupun terlalu aktif di kelas. Akan tetapi kanak-kanak yang mempunyai ADHD akan menunjukkan simptom-simptom ini dengan lebih kerap berbanding kanak-kanak yang lain. Terutama sekali dalam kalangan usia kanak-kanak yang sebaya dengannya. Kebiasaannya ADHD ini akan mula dikesan sekitar umur sebelum kanak-kanak itu mencapai umur 7 tahun. ADHD akan berlaku sekurang-kuragnya 3-5%  dalam kalangan kanak-kanak di sekolah. Ahli keluarga yang mempunyai ADHD juga akan menyumbang 25% kepada anak-anak mereka untuk mendapat ADHD.

Antara ciri-ciri yang seringkali ditunjukkan oleh kanak-kanak yang mengalami ADHD ini ialah:
  • v Kesukaran dalam memberi tumpuan
  • v  Sukar untuk memberi penjelasan
  • v  Sering cuai
  • v  Mudah mengamuk
  • v  Seringkali hilang alatan tulis dan keperluan sekolah
  • v  Sukar menyiapkan tugasan di kelas dan kerja di rumah oleh guru
  • v  Sukar untuk mendengar cakap/ arahan
  • v  Tidak dapat mengikut arahan yang pelbagai daripada orang dewasa
  • v  Memberi jawapan yang tidak menepati soalan
  • v  Tidak sabar
  • v  Seringkali meninggalkan tempat duduk di dalam kelas( sering pergi ke tandas)
  • v  Suka memanjat
  • v  Suka bercakap ketika guru mengajar
  • v  Tidak boleh bermain dengan diam ( kerap menjerit-jerit semasa bermain)
  • v  Sering mengganggu rakan sebaya/ orang lain
  • v  Sering menunjukkan rasa gelisah ( berpeluh-peluh atau pun menggoyangkan kaki)


Kanak-kanak yang mengalami simptom ADHD perlu ini perlu dibawa berjumpa dengan yang pihak sepatutnya untuk dinilai atau didiagnos dengan lebih lanjut. Ibu  bapa hendaklah meminta pihak pakar kanak-kanak atau pun doktor keluarga merujuk anak-anak mereka ini kepada pakar psikiatri kanak-kanak dan dewasa untuk mendiagnos anak-anak mereka dengan lebih lanjut bagi tujuan perubatan.

Kanak-kanak ADHD juga mungkin akan mengalami masalah mental yang lain seperti masalah perilaku, kerisauan melampau, depressi, atau pun bipolar. Kanak-kanak yang mengalami masalah ini sememangnya akan mengalami masalah pembelajaran.

Sekiranya golongan ini tidak mendapatkan rawatan yang baik, kanak-kanak ini akan ketinggalan semasa mengikuti sesi persekolahan mereka dan mereka juga akan mengalami masalah dalam persahabatan dengan rakan sekelilingnya. Mereka juga akan mengalami lebih banyak kegagalan dan ini akan menyebabkan mereka seringkali dikritik oleh guru atau ibu bapa yang tidak tahu masalah sebenar anak-anak mereka ini.

Kajian telah membuktikan bahawa ubat-ubatan sedikit sebanyak dapat membantu masalah tumpuan, tingkah laku dan kemahiran mengurus diri.  Antara ubat-ubatan yang seringkali digunakan adalah seperti ubatan stimulant seperti (methylphenidate dan amphetamine preparations). Manakala ubat yang non-stimulants pula adalah seperti ubat atomoxetine. Terdapat juga ubat-ubatan yang lain yang digunakan seperti ubat guanfacine, clonidine, dan antidepressi.

Antara pendekatan yang lain selain ubat-ubatan, termasuklah terapi tingkah laku-kognitif, latihan kemahiran sosial, pendidikan kepada ibu bapa dan modifikasi tingkah laku untuk program kanak-kanak ini.

Kebiasaannya terapi tingkah laku dapat membantu kanak-kanak mengawal sikap agresif mereka dengan lebih baik kerana terapi ini lebih berkesan. Terapi koginitif pula membantu kanak-kanak ini membina keyakinan diri yang tinggi, mengurangkan perasaan prasangka yang buruk dan sekaligus meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah.

Ibu bapa juga boleh belajar kemahiran pengurusan seperti memberi arahan yang jelas dan tersusun untuk satu masa daripada memberi arahan yang banyak dalam satu masa.  Pendidikan mengenai pengubahsuaian tingkah laku sememangnya  dapat  digunakan untuk masalah ADHD dan juga masalah-masalah pembelajaran khas yang lain.

bibiliografi:
Source: American Academy of Child & Adolescent Psychiatry